Pengenalan 












TUJUAN PENUBUHAN JAWATANKUASA KEMAJUAN DAN KESELAMATAN KAMPUNG (JKKK)
Penubuhan JKKK adalah merupakan hasrat kerajaan bagi menjamin kemajuan dan keselamatan negara. Dalam kontek negara ini di mana penduduk luar bandar merupakan penduduk majoriti maka JKKK ini merupakan satu petunjuk kestabilan ekonomi dan politik negara. Oleh kerana JKKK merupakan organisasi yang paling hampir dengan masyarakat maka ia merupakan organisasi yang amat penting di dalam kemajuan negara. Kemajuan sesebuah kampung adalah juga dicerminkan oleh kegigihan JKKK dan lanjutan daripada ini ialah kemajuan negara. Untuk menjamin kesinambungan ini berlaku, maka satu organisasi JKKK yang kemas dan sihat perlu diwujudkan.

MATLAMAT
Di antara matlamat utama penubuhan JKKK KG. Paya, Yong Peng Mukim 17 ialah:
  1. Meningkatkan kemajuan infrastruktur bagi kampung ini.
  2. Meningkatkan pencapaian sosioekonomi anggota masyarakat kampung.
  3. Meningkatkan pencapaian pendidikan anggota masyarakat kampung.
  4. Memelihara keselamatan dan keharmonian penduduk berbagai segi.
  5. Meningkatkan pencapaian anggota masyarakat dalam sosio budaya.
  6. Mewujudkan satu kelompok masyarakat yang mengamalkan nilai-nilai murni.
  7. Mewujudkan satu kelompok masyarakat yang patuh dan yakin dengan ajaran agama.
OBJEKTIF
Objektif utama penubuhan JKKK ialah untuk mewujudkan satu kumpulan pengurusan yang mampu bekerjasama dan bertanggungjawab untuk mencapai matlamat di atas.

KEANGGOTAAN JKKK
Keanggotaan JKKK hendaklah terdiri daripada seorang Pengerusi, seorang Setiausaha, seorang Bendahari serta 13 orang ahli J/kuasa dan bilangan maksimum bagi semua yang di atas hendaklah tidak melebihi 13 orang.

TEMPOH KEANGGOTAAN
Keanggotaan JKKK adalah bagi tempoh 2 tahun melainkan bagi jawatan tertentu yang diputuskan oleh Jawatankuasa Tindakan Daerah. Selepas tamat tempoh perkhidmatan ahli-ahli JKKK boleh dicalonkan semula dan keputusan akan dibuat oleh Jawatankuasa Tindakan Daerah.

TUGAS-TUGAS JKKKK
Pengerusi
  1. Mempengerusikan mesyuarat JKKK atau mewakilkannya dengan kehadiran.
  2. Bertanggung jawab menentukan perlaksanaan segala projek pembangunan serta keselamatan kampung.
  3. Bertanggungjawab menentukan segala program dan aktiviti berjalan dengan licin dan sempurna.
  4. Menjadi ahli ex-offisio di dalam semua biro dan menjadi penasihat kepada semua badan yang terdapat di kampung.
  5. Memberikan kata putus terhadap sesuatu perkara yang timbul dengan nasihat dan pandangan JKKK.
  6. Mewakili JKKK di dalam segala bentuk upacara rasmi melainkan dengan persetujuan ia mewakilkannya.
  7. Menandatangani semua butiran yang berkaitan dengan kewangan bersama-sama setiausaha dan bendahari.
  8. Bertanggungjawab di atas segala kegiatan dan program yang berlaku.
  9. Menjadi jurucakap rasmi JKKK bagi perkara-perkara yang telah diputuskan oleh mesyuarat JKKK.
Setiausaha
  1. Memanggil mesyuarat bulanan berdasarkan jadual mesyuarat bulanan yang dipersetujui oleh JKKK.
  2. Menjadi pencatat mesyuarat JKKK serta menyediakan minit yang berkaitan untuk edaran dan rekod.
  3. Bertanggungjawab menyimpan segala rekod dan semua maklumat yang berkaitan dengan JKKK.
  4. Menandatangai semua butiran yang berkaitan dengan kewangan bersama-sama dengan Pengerusi dan Bendahari.
  5. Menjadi ex-oficio bagi semua biro dan berhak memberikan pandangan dan nasihat di atas sifatnya.
  6. Bertanggungjawab menyelenggara serta menyelia perjalanan JKKK.
  7. Melaksana lain-lain tugas yang diarahkan oleh Pengerusi.
Bendahari
  1. Bertanggungjawab menyimpan segala rekod dan maklumat kewangan JKKK.
  2. Menyediakan Penyata Kewangan sebagaimana yang diputuskan di dalam mesyuarat JKKK.
  3. Menandatangani semua butiran yang berkaitan dengan kewangan bersama-sama Pengerusi dan Setiausaha.
  4. Bertanggungjawab menyelenggara serta menyelia perjalanan kewangan JKKK.
  5. Melaksanakan lain-lain tugas yang diarahkan oleh Pengerusi.
Ahli Jawatankuasa
  1. Menghadiri Mesyuarat JKKK.
  2. Memberikan pandangan, idea untuk mencapai matlamat penubuhan JKKK.
  3. Memberikan kerjasama, komitmen dan rasa tanggungjawab terhadap JKKK dan kampung ini.
  4. Menjadi anggota Jawatankuasa Kerja yang dipersetujui di dalam mesyuarat JKKK.
  5. Melaksana dan memastikan kejayaan segala program dan aktiviti yang telah dirancang dan disusun oleh JKKK.
  6. Melaksanakan lain-lain tugas yang diarahkan oleh Pengerusi.
Biro-Biro
Untuk memastikan segala program yang telah dirancang dan diatur berjalan dengan lancar maka biro-biro tertentu hendaklah dibentuk dan menubuhkan Jawatankuasa Kecilnya yang tersendiri bagi menanamkan minat dan kepercayaan anggota masyarakat kampung ini terhadap JKKK di samping dapat memperjelaskan lagi matlamat dan objektif penubuhan JKKK.

Ahli Jawatankuasa Biro
Jawatankuasa Biro hendaklah diketuai oleh :
  1. Seorang Pengerusi
  2. Seorang Penolong Setiausaha
  3. Beberapa orang ahli jawatankuasa yang meliputi keseluruhan kampung.

||LAMAN UTAMA||

Tiada ulasan:

Catat Ulasan